Aku sampai opis awal tadi..pastu tak tau nak watpe, saje blog
walking.Pastu jumpe artikel ni..aku tak ingat ape nama blog dia.Yang
pasti,penulis nye Mohamad Zaki Hj Abdul Halim.Mohon share ye..
Apabila pasangan suami isteri telah selamat diijab-kabulkan maka
bermulalah tanggungjawab besar yang terpikul bersama antara suami dan
isteri. Bahtera rumahtangga yang dikemudikan oleh suami bakal berlayar
menempuh lautan yang luas menuju destinasi keredhaan ilahi. Namun
lautan tidak selalunya tenang, langit tidak selalunya cerah, pelbagai
dugaan dan ujian akan silih berganti. Kadang-kala badai menerjah
menguji kesabaran dan kematangan hidup insan. Keadaan ini menagih
kesabaran dan ketenangan dalam mengharunginya. Penyelamat yang paling
ampuh ialah ilmu dan keimanan yang menebal kepada Tuhan.
Perkara asas dalam menjamin keharmonian rumahtangga ialah memahami
hak-hak yang mesti dijaga oleh pasangan suami dan isteri. Kegagalan
memahami dan menunaikannya akan mengakibatkan mahligai yang dibina
akan mengalami keretakan.
Untuk catatan kali ini saya akan cuba mengupas dua hak utama bagi
isteri secara zahir yang wajib dihormati serta dilaksanakan sepanjang
tempoh perkahwinan supaya tidak timbul pecabulan hak dan kedamaian
dalam jiwa seorang isteri.
Hak Pertama: Mahar
Mahar adalah suatu pemberian wajib daripada suami kepada isterinya
dengan sebab berkahwin. Ia merupakan hak mutlak isteri yang tidak
boleh dipertikaikan dan tidak boleh diambil oleh suami sesuka hati
kecuali dengan keredhaan dan keizinan isterinya. Walaubagaimanapun
suami dibolehkan berhutang mahar dengan isterinya, tetapi dengan
syarat ianya wajib dilunaskan kembali.
Sekiranya suami enggan berbuat demikian, maka ianya adalah perbuatan
maksiat yang diancam oleh Allah SWT. Iaitu sebagaimana ancaman Allah
SWT kepada orang yang berhutang dengan niat tidak mahu membayar balik
hutang tersebut sedangkan ia mampu untuk berbuat demikian. Perbuatan
ini jelas merupakan penderhakaan terang-terangan terhadap hak isteri,
sekaligus menderhakai Allah SWT.
Dari Muhammad bin Jahsy radhiyallaahu 'anhu, ia berkata, "Pada suatu
hari, kami duduk-duduk bersama Rasulullah SAW sedang menguburkan
jenazah. Beliau menengadahkan kepalanya ke langit kemudian menepukkan
dahi beliau dengan telapak tangan seraya bersabda: "Subhanallaah,
betapa berat ancaman yang diturunkan." Kami diam saja namun
sesungguhnya kami terkejut. Keesokan harinya aku bertanya kepada
beliau, 'Wahai Rasulullah! Ancaman berat apakah yang turun?' Beliau
menjawab: "Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, seandainya
seorang laki-laki terbunuh fii sabiilillaah kemudian dihidupkan
kembali kemudian terbunuh kemudian dihidupkan kembali kemudian
terbunuh sementara ia mempunyai hutang, maka ia tidak akan masuk surga
hingga ia melunaskan hutangnya.'" (Riwayat An-Nasa'i dan Ahmad)
Hak Kedua: Nafkah Diri (zahir)
Nafkah merupakan isu utama yang sering menjadi perbalahan antara suami
dan isteri. Secara umumnya, nafkah merupakan tanggungan yang wajib
ditunaikan oleh suami. Menurut istilahnya, nafkah bermaksud
mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib atas
seseorang (suami) untuk membiayainya. Ia bukan sahaja pada makan dan
minum malah merangkumi tempat tinggal, pakaian, ubat-ubatan dan yang
berkaitan dengan kebajikan isteri secara keseluruhannya.
Walaubagaimanapun menyediakan nafkah untuk isteri ini tertakluk kepada
kemampuan suami. Mengikut hukum syarak, seseorang isteri yang taat
kepada suaminya berhak untuk mendapat nafkah selagimana dia tidak
nusyuz (keingkaran isteri mentaati perintah suami yang diharuskan oleh
syarak) terhadap suaminya.
Sekiranya dalam satu tempoh perkahwinan, suami telah gagal menyediakan
nafkah dengan baik, maka ia menjadi hutang ke atas suami dan wajib
dibayar. Ia boleh dilaksanakan melalui saluran undang-undang dengan
membuat tuntutan di mana-mana mahkamah syariah.
Bagaimana pula sekiranya isteri bekerja? Adakah wajib pada suami untuk
memberikan nafkah terhadapnya?
Hukumnya tetap wajib. Suami tidak boleh sama sekali beranggapan dengan
keizinan yang diberikannya kepada isteri untuk bekerja dijadikan
sebagai alasan untuk tidak menunaikan tanggungjawab tersebut. Mesti
diingat, bahawa harta sama ada berbentuk wang ringgit atau sebagainya
hasil daripada titik peluh isteri melalui usahanya sendiri adalah hak
mutlak dan peribadinya dan tidak boleh diambil dan digunakan tanpa
pengetahuannya.
Kesimpulan
Fenomena dalam masyarakat kita di Malaysia sejak dulu sering
memperlihatkan sikap yang lebih memihak kepada kaum lelaki dalam
perhubungan suami isteri. Pandangan sedemikian rupa hendaklah dikikis
dari dalam diri setiap individu khususnya suami. Dengan adanya
ketentuan syarak yang mengiktiraf dan membela hak-hak isteri seperti
yang dibahaskan, jelaslah menunjukkan bahawa Islam mengangkat martabat
wanita yang bergelar isteri sebagai insan yang dihormati yang sama
nilainya dengan suami. Setiap pasangan suami-isteri mempunyai peranan
dan hak masing-masing yang mesti dihormati antara satu sama lain.
Konsep ini jika benar-benar dilaksanakan akan menjamin ketenangan dan
kebahagiaan dalam hidup berkeluarga.
# mudah-mudahan saya pun tergolong dalam insan2 yang mengamalkan
konsep ni dimana mementingkan ketenangan dan kebahagiaan hidup
berkeluarga..amin ya rabbal al-amin..
No comments:
Post a Comment