me & my lovely family

me & my lovely family

Monday, December 24, 2012

ALHAMDULILLAH.. Ana sudah bertunang

Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun
yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Ya, hanya
beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang
diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada.
Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar
berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam
gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di
jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.

Aku hanya seorang Muslimin biasa. Tiada kelebihan yang teristimewa,
tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki,
lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang
menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun
bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa
mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa
bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti
manusia lain.

Aku bukan seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, aku juga tidak sehebat
Saidina Umar al-Khattab dalam berbakti, aku bukan seperti Saidina
Uthman bin Affan, bukan juga seperti Saidina Ali yang keempat-empat
ini merupakan sahabat-sahabat nabi yang begitu kuat dalam setiap
langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang muslimin
yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama...
Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian,
Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabat yang memuji wajahku
berseri dan mereka yakin benar aku sudah mengkhitbah seseorang yang
begitu istimewa apabila mendengar khabar-khabar angin bahawa aku sudah
bertunang. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula
menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak,
tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu.
Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah dan serban. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian
naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam
Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu
saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah
juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari
bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke
belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku
mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam
al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah
yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh.
Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia
menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora
hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini
rasanya orang-orang yang mendahului.

"ya syeikh sahabatku, anta dah bertunang ke? Mesti hebat muslimah tu
sampai anta terpikat. cantik tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku
masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat
penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara
aku dan keluarga.

"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan ana dengan
Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata
mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan
ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang
berbahagia apabila sudah betunangkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku
dengan Allah. Sahabat juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu
terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain
kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan
menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

"Bila enta menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti enta akan tahu..." Aku masih
menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar
aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" sahabat ana tersenyum megah.

"Kalau enta tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana
banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu
melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya
sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan
tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung
aku sudah pun melamar dan bertunang dahulu tanpa menikah secara
terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju
menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Ya syeikh, jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa."

Sahabat juga semakin galak mengusik.

"Wah, sahabat kita diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat...
Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, tapi ana mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum
ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku
sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan
penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan
terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku,
itu sahaja.

..........................
.............

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."

"Ya Allah, tenangnya..."

"Moga Allah memberkatinya...."

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian.
Sahabat ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak
menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang aku
telah dikhitbahkan oleh Allah..

Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa
ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam
rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya
merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang
mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa,
yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku
tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau
redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai
sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku
ketahui..."

Akhirnya, sahabatku bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"anak makcik bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang
yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat
pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya
beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar..." Terduduk sahabat-sahabatku mendengar, air matanya tak
mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku
bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera
tajuk'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la dia selalu menangis... saya tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu dia mahu berpuasa.
Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."

sahabat-sahabat masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah
menatap kalam dari diariku yang diberikan oleh ibu.

" satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan
MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku
kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku
bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang
perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah
bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim,
seteguh dan setabah hati seorang ibu."

# Sumber : http://muhammadsyafik.blogspot.com

No comments:

Post a Comment